JULUNG-julung kalinya menjayakan persembahan solo di bumi Kuala Lumpur, kehadiran penyanyi TULUS ke pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Selasa lalu cukup menggerunkan rasa. Boleh dikatakan, keseluruhan atmosfera konsert didakap mesra dengan nyanyian bersama peminat yang hadir memenuhi bangku panggung yang tiketnya laris terjual.

Sebagai salah orang penggemar tegar muzik TULUS atau nama lengkapnya, Muhammad Tulus, 31, tidak terbilang dengan ungkapan kata betapa persembahan yang mengayunkan 15 karya merdunya dalam durasi kurang daripada dua jam itu sungguh mengukir momen bahagia.

Dengan vokal dan susunan muzik begitu cemerlang, secara peribadi buat penulis, konsert anjuran Shiraz Projects dengan kerjasama TulusCompany berkenaan sudah tercatat sebagai antara konsert penyanyi paling ‘sedap’ pernah di bawa di pentas Istana Budaya bagi tahun 2018.

Tulus bukan sahaja memercik magis dengan vokal serta persembahan kelas antarabangsa, dia juga bijak berinteraksi serta memberi apresiasi buat teman-temannya yang sudah lama menanti sekian lama persembahan solonya di negara ini.

“Saya berasa amat bersyukur. Terima kasih buat teman-teman di Malaysia yang sudah memberi apresiasi dan datang ke persembahan malam ini. Mudah-mudahan saya diterima lagi di sini selepas ini,” ujar pelantun lagu Labirin itu ketika ditemui media usai melunaskan persembahan pada malam tersebut.

Nyanyi bersama

Dengan jeritan bertalu-talu peminat seraya jam di dinding menunjukkan angka 9 malam, terpampang ‘jenama’ TULUS dengan rona hitam putih menghiasi pentas dan cahaya yang memancar, lelaki itu memulakan persembahan dengan dua single yang masing-masing dipetik dari album kedua dan debutnya iaitu Baru dan Kisah Sebentar.

Barangkali TULUS sendiri gugup dan tidak menyangka pengaruh muziknya amat kuat melihat keraian tepukan serta sorakan pada malam itu, namun nuansa berkenaan tidak menggagalkan listrik vokalnya. Graduan Universitas Katolik Parahyangan, Bandung itu terus selesa menyanyi.

Sebelum mendendangkan single daripada album ketiga Monokrom berjudul Tukar Jiwa, TULUS sempat bercanda sementelah berkongsi cerita di sebalik lagu tersebut untuk persembahan kali ini.

“Anda semua boleh memilih sama ada hanya mendengar atau menyanyi bersama. Dua lagu awal tidak mengapa, tidak berapa susah. Kalau ingin nyanyi bersama, nyanyi dengan sekencang-kencangnya.

“Lagu Tukar Jiwa pada mulanya saya tidak yakin untuk dijadikan single. Namun, ia mendapat sambutan hebat daripada pendengar. Ia tentang bagaimana rasanya apabila kita saling bertukar jiwa,” terangnya yang kemudian mengalunkan lagu berkenaan dengan penuh merdu.

Kemudian, empat karya berikutnya mempunyai nilai yang begitu dekat dengan para peminatnya. Lagu yang dimaksudkan ialah Monokrom, Ruang Sendiri, Gajah dan Langit Abu-Abu yang cukup lazim di bibir serta minda penonton yang hadir pada malam tersebut.

Padu berkumandang satu dewan atau dibahasakan TULUS sebagai panggung membuktikan impaknya bukan biasa-biasa. Terlanjur, Tulus menyanyikan untaian lagu bernada sedih. TULUS sempat menitipkan pesanan: “Jangan bersedih mendengar lagu-lagu ini. Saya mahu anda semua merasa bahagia, jadi biar bahagian diri saya sahaja sedih demi menyanyi.”

Komunikasi mesra

Persembahan pada malam tersebut turut dihadiri penyanyi-penyanyi hebat tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar dan ramai lagi. Umum mengetahui, Tulus sempat berkunjung ke kediaman Siti beberapa bulan lalu.

Memanggil nama penyanyi nombor satu tanah air itu di tengah-tengah persembahan, dia berkata: “Beberapa bulan lalu, saya disambut begitu baik sekali dan diundang oleh Kak Siti ke rumahnya.”

Persembahan terus dinyalakan dengan nyanyian single terbaharunya, Labirin sebelum satu dewan bersahut-sahutan melaungkan bersama lagu berjudul Teman Hidup. Kemudian, lelaki itu merancakkan adrenalin penonton menerusi dua karya rancak, Sepatu dan Lagu Untuk Matahari.

Ketika itu, TULUS dengan rendah hati meminta semua penonton untuk bangkit daripada tempat duduk dan berdansa riuh. Permintaan tersebut disambut baik oleh lebih 1,400 penonton yang hadir.

Tiga lagu terakhir disusun cermat selari kehendak penonton. Jangan Cintai Aku Apa Adanya, Manusia Kuat dan Pamit berkumandang persis ombak bayu yang menderas. Satu Panggung Sari bergema dengan bait-bait lirik yang indah serta bunyian muzik yang membuat ramai merinding.

Sampai babak akhir konsert, TULUS sudah lesap dari pentas membuatkan namanya dipanggil bersambung-sambung dengan laungan we want more (kami mahu lagi). Tidak mengecewakan penonton, dia muncul semula menggulung persembahan dengan dendangan lagu berjudul Sewindu. Tidurlah dengan lena pemuja muzik lelaki itu dengan buaian mimpi sudah bertukar realiti bahawa TULUSsudah melunaskan konsert di Malaysia.

Sambutan, energi

Ketika sidang akhbar bersama media, TULUS berkata, dia lega kerana konsert sulung di bandar metropolitan Kuala Lumpur itu sudah dilangsaikan dengan lancar. Dia sendiri tidak menyangka sambutan serta energi luar biasa daripada peminat.

“Secara keseluruhan, Alhamdulillah ia berjalan lancar. Saya 85 hingga 90 peratus berpuas hati dengan perjalanan konsert pada malam ini.

“Saya memang tidak menyangka energi daripada penonton amat luar biasa dan ia jauh lebih besar daripada jangkaan saya. Ia kerana, sebelum ini memang tidak tahu bagaimana sambutan peminat di sini kerana hanya berkomunikasi melalui ruang media sosial sahaja,” jelas TULUS yang akan membuat persembahan selanjutnya di Kuching Waterfront Jazz Festival 2018 pada 28 September depan.

Ditebak pertanyaan sama ada sudah ada merancang untuk berduet dengan mana-mana artis tempatan misalnya Siti Nurhaliza, TULUS masih terus memberikan bayangan samar atau teka-teki.

“Saya belum tahu. Secara peribadi, saya berasa amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan dan ia amat memberi erti. Mudah-mudahan boleh menyanyi bersama dengan Kak Siti mungkin di atas pentas selepas ini,” katanya ringkas.

Berkeyakinan dan selesa ketika melakukan persembahan di atas pentas, lelaki kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat itu berpegang teguh bahawa muzik sememangnya memainkan peranan amat penting buat dirinya.

“Menjadi pemuzik adalah keputusan yang amat besar dalam hidup saya. Tujuan saya menyanyi untuk berkongsi emosi dengan orang ramai.

“Bagi saya, muzik itu umpama rekreasi dan juga hiburan yang paling berkesan. Saya bahagia kerana dapat melakukan sesuatu yang saya amat cintai dalam hidup iaitu bidang muzik,” terangnya yang turut mendedahkan amat menggemari nasi ayam apabila berada di Kuala Lumpur.

Membalas apresiasi TULUS, penulis mewakili para peminatnya ingin membalas, sedar atau tidak, karya anda berjaya menyentuh rasa, emosi dan jiwa pendengar. Terima kasih sudi berkunjung ke Kuala Lumpur. Melihat riak wajah dan emosi yang terjalin, TULUS pasti akan hadir lagi dengan konsert yang lebih besar skalanya di sini. Sampai ketemu lagi!

 

**Sumber :http://www.kosmo.com.my/hiburan/diulit-syahdu-metafora-muzik-tulus-1.751826