SEWAKTU melewati balai ketibaan ketika baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, TULUS yang singgah ke ibu kota bagi tujuan promosi konsert jelajahnya, TULUS Sewindu Tour Kuala Lumpur diserang kaget.
Perasaan kaget yang datang menyerang TULUS bukan kerana canggung berada di negara orang. Sebaliknya, lelaki kelahiran Bukit Tinggi, Indonesia itu berasa agak janggal kerana ada beberapa petugas di sekitar lapangan terbang menyedari kehadirannya di situ, lalu meminta kebenaran untuk bergambar bersama.
“Sebelum ini, jika berada di Kuala Lumpur, jarang ada yang mengenali saya. Tetapi, ketika turun dari pesawat dan ada yang minta bergambar, saya menjadi kaget!
“Saya tahu, ramai orang Malaysia yang mendengarkan lagu-lagu saya. Cuma, saya tidak sangka dikenali sebegini,” katanya membuka bicara.
Sungguhpun begitu, TULUS yang pernah mengadakan konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun lalu mengakui senang dengan sambutan yang diterima, khususnya daripada peminat-peminat di Malaysia.
“Saya berasa sangat senang dengan sambutan yang diberikan. Hal ini kerana, saya lahir di sebuah kota kecil iaitu di Kota Tinggi dan hanya sempat menyambung pengajian di Jawa.
“Mempunyai karier di Indonesia sahaja sudah seperti mimpi, apatah lagi mampu mengembangkan sayap ke luar negara,” katanya sambil tersenyum.
Titik terendah
Melihat lembar portfolio seni dan kejayaan terdahulu, lelaki berusia 32 tahun itu boleh dikatakan cemerlang mengangkat karyanya dalam industri muzik arus perdana Nusantara.
Meraih 13 anugerah pada Anugerah Musik Indonesia dan dua pengiktirafan menerusi Anugerah Planet Muzik, keberadaan TULUS juga mendapat respons luar biasa positif daripada pengkritik seni.
Namun, permulaan karier TULUS sebagai penghibur pentas tidak selancar seperti yang disangkakan ramai orang.
“Sebelum memulakan karier sebagai penyanyi, saya begitu yakin bahawa label-label muzik di Indonesia akan menerima saya. Mungkin ketika itu saya yakin bahawa saya boleh menyanyi.
“Ternyata telahan saya silap, bahkan ada yang mengatakan saya tidak mempunyai potensi untuk bergelar penyanyi. Namun, saya bersyukur, hal itu banyak mematangkan dan menjadikan saya seperti hari ini,” jelas TULUS.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Pamit itu, sebaik sahaja diterima sebagai penyanyi, perjalanannya tidak pernah melalui halangan yang sukar.
“Selama lapan tahun bergelar penyanyi, tipu jika tiada halangan. Tetapi, saya tetap menikmati halangan itu dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan,” katanya lagi.
Ditanya, adakah dia berkarya kerana mahu berkongsi bakat atau sekadar mencari satu pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan, ini jawapan TULUS: “Sebagai seorang penyanyi, saya masuk ke dalam industri ini kerana mahu menyebarkan karya-karya saya. Tetapi, saya akan menjadi munafik jika langsung tidak memikirkan soal wang.
“Namun, fokus utama adalah muzik. Jika dari awal mahukan wang, kita tidak akan pernah puas.”
Persediaan
Beralih bicara mengenai Tulus Sewindu Tour Kuala Lumpur yang bakal diadakan di Dewan Plenary KLCC, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan, TULUS menjelaskan, konsert jelajah anjuran Shiraz Project tersebut merupakan konsert jelajah pertamanya sepanjang bergelar penyanyi.
“Sebelum ini, saya memang pernah mengadakan konsert. Cuma, konsert berkenaan tidak diadakan dalam frekuensi yang kerap di lokasi berbeza dengan konsep yang sama.
“Secara peribadi, saya berasa sangat teruja untuk memulakan jelajah ini dan berharap peminat turut tertarik untuk menikmati muzik yang bakal dihidangkan,” jelas TULUS lagi.
Memilih Kuala Lumpur sebagai kota pertama bagi konsert jelajahnya, TULUS berkata, agenda tersebut bukanlah satu masalah yang besar walaupun peminatnya kebanyakan berasal dari Indonesia.
“Bagi saya, lokasi pertama konsert jelajah bukanlah satu hal yang perlu dibahaskan, sementelah setiap yang dirancangkan mengikut jadual daripada pengurusan,” katanya.
Berkenaan persediaan untuk konsert berkenaan dan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan, TULUS berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan.
“Saya masih dalam proses memilih lagu untuk dipersembahkan. Jika boleh, saya mahu menyanyikan sebanyak 20 buah lagu yang dipetik daripada ketiga-tiga album iaitu Tulus, Gajah dan Monokrom,” kongsinya.
Menjawab pertanyaan berhubung tajuk lagu Sewindu yang diabadikan sebagai judul konsert jelajahnya, TULUS berkata, lagu berkenaan memberi makna yang besar sepanjang berkarier.
“Selain Sewindu yang mewakili usia lapan tahun saya sebagai penyanyi, lagu tersebut juga cukup istimewa bagi saya.
“Lagu berkenaan merupakan lagu pertama yang saya rakam ketika bergelar penyanyi dan juga lagu kegemaran kami ketika mahu mengadakan pemeriksaan bunyi sebelum membuat persembahan,” katanya menutup bicara.
Sesuai dengan judul lagunya, Sewindu yang membawa maksud lapan tahun, TULUS bercerita tentang perkembangan karier nyanyiannya dan persediaan konsert jelajah perdana Tulus Sewindu Tour Kuala Lumpur. Konsert jelajah pertama seumur hayat seninya itu bakal diadakan di Dewan Plenary KLCC, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan.
Tiket-tiket Sewindu Tour boleh didapati di www.MyTicketAsia.com pada harga RM160 (Bronze), RM200 (Silver), RM260 (Gold), RM360 (Platinum), RM460 (Diamond), RM860 (Meet & Greet).
**Sumber : http://www.kosmo.com.my/hiburan/signifikan-sewindu-tulus-1.930974, yang diakses pada 7 Juli 2019, pukul 15.06 WIB.