Berita

“Tujuh Tahun Menanti, TULUS Lancar Album di Malaysia” di Kosmo Online

26 Jun 2018

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun menanti, penyanyi terkenal dari Indonesia, TULUS hadir ke Malaysia bagi mempromosikan album ketiganya berjudul Monokrom. 

TULUS atau nama sebenarnya, Muhammad Tulus, 30, berkata kekangan masa menjadi punca mengapa selepas tujuh tahun, baru dia berkesempatan untuk hadir ke Malaysia dan mempromosikan karya muziknya yang mendapat sambutan hebat di bukan sahaja di Indonesia, malah di negara jiran seperti Malaysia.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat ke Malaysia. Selama ini, hubungan saya dengan peminat di negara ini hanya satu arah sahaja iaitu melalui media sosial. 

“Bukan saya tidak mahu datang ke Malaysia sebelum ini namun kekangan masa. Saya tidak mahu melancarkan album di sini namun tidak mampu memberikan komitmen yang penuh.

“Sekarang, waktu yang tepat dan matang untuk berada di sini mengembangkan muzik dan bertemu dengan teman-teman di negara ini,” ujar pelantun lagu Pamit itu yang ditemui media pada majlis pelancaran album Monokrom di ibu negara hari ini. 

Sementara itu, Tulus bakal mengadakan konsert pertamanya di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 18 September depan. 

Katanya, dia teruja dan tidak sabar untuk beraksi di Istana Budaya demi para peminat di Malaysia. 

“Saya sudah tengok tempatnya (Istana Budaya) dan ia membuatkan saya seru (bersemangat). 

Insya-Allah, nanti saya datang buat konsert dengan kumpulan pemuzik yang lebih besar,” ujar Tulus. 

Informasi konsert berkenaan akan dikemaskini dari semasa ke semasa kepada orang ramai. 

Ditebak pertanyaan siapa penyanyi kelahiran Malaysia yang dia berminat untuk berkolaborasi bersama, jawab TULUS : “Saya belum boleh jawab sekarang kerana terlalu banyak pilihan.”

“Saya semasa kecil tinggal di bukittinggi (Sumatera Barat, Indonesia). Saya menonton TV3 dahulu. Iya, saya tahu banyak sudah tentu.” 

Ketika majlis pelancaran album Monokrom anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd. dengan kerjasama TulusCompany tersebut, Tulus menyanyikan tiga buah popularnya seperti Monokrom, Teman Hidup dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya.

 

**Sumber : 

http://www.kosmo.com.my/hiburan/tujuh-tahun-menanti-tulus-lancar-album-di-malaysia-1.696498 yang diakses pada Selasa (26/6) pukul 19.35 wib.